Monday, May 11, 2009

Ucaplah Selamat Hari Guru

Tanggal 16 Mei menjadi diari penting bagi seseorang yang bergelar guru. Saban tahun peristiwa manis ini disambut dari peringkat sekolah sehingga ke peringkat kebangsaan. Namun itu bukanlah petanda bahawa guru perlu disambut dengan hidangan atau hadiah dari anak muridnya. Guru tidak mengharapkan itu semua. Tidak ada sambutan pun, guru terus dengan karenahnya membentuk generasi muda agar mempunyai fikiran yang wajar, berkemenjadian dan penuh nilai-nilai kemanusiaan seperti kehendak al-Quran.

Dek kerana sambutan sudah menjadi kelaziman, maka luangkanlah sedikit masa anda dengan ucapan" Selamat Hari Guru" buat guru-guru anda yang pernah menjadikan anda dewasa.

Thursday, April 30, 2009

Ubah Pengajaran

Senario pendidikan sekarang nampak semakin mencabar. Guru-guru yang menjadi agen penyampai maklumat amat memerlukan sesuatu yang boleh disifatkan sebagai kreatif dan inovatif. Ini bermakna guru-guru mestilah dapat menyampai pengajarannya dengan efektif. Guru-guru harus meneroka dan membentuk satu pendekatan dengan menggunakan kreativiti yang tinggi supaya setiap inci metod dan kaedah yang digunakan dapat memperkembangkan minda, emosi, sikap dan nailai para pelajar. Tidaklah nantinya pelajar-pelajar merasa bosan dan jemu yang akhirnya sudah tidak berminat lagi untuk belajar. Apabila pelajar-pelajar sudah tidak berminat lagi dengan pelajaran maka sudah tentu guru sukar membendung masalah-masalah lain yang akan timbul. Pelajar akan mencari seribu alasan yang akan membuatkan guru menjadi resah dan keliru dengan gaya dan identiti sendiri. Sukar untuk menarik semula pelajar yang telah "kehilangan" ini. Guru haruslah pandai 'menarik rambut dalam tepung' dan perlu menghidupkan semula kepercayaan pelajarnya terhadap pelajaran kerana individu yang berefikasi tinggi sahaja yang berupaya menghadapi sesuatu situasi dan mampu meningkatkan pencapaian dan perwatakan. Pengetahuan dan kemahiran guru menjadi faktor utama menjana semula maruah pendidikan dan mempengaruhi segala tindakan yang bakal diambil.

Monday, April 20, 2009

Sekolah mana berkesan

Ada pelbagai jenis pengkelasan sekolah yang kita dengar dan pelbagai nama ada yang bestari, wawasan, kluster dan sebagainya. Sesetengah sekolah, dengar sahaja namanya, semua orang ingin menjejakinya. Kononnya sekolah yang sudah ada nama ini telah melahirkan ramai insan gemilang dan ternama. Tiap-tiap sekolah adalah berbeza dan mempunyai impak yan penting dalam kehidupan pelajar, guru dan masyarakat. Sekolah yang mempunyai pencapaian atau outcome yang berlainan ini sebenarnya dipengaruhi oleh ciri-ciri yang berkaitan rapat dengannya seperti iklim, kebudayaan atau 'ethos' sekolah itu dan kualiti sekolah itu sebagai suatu sistem sosial. Cuba kita letakkan dua orang pelajar yang mempunyai latarbelakang yang sama tetapi mereka belajar di sekolah yang berlainan. Kenapa boleh jadi begitu..?

Ini membuktikan bahawa sekolah dan guru boleh mempengaruhi pencapaian sesebuah sekolah. Sekolah dan guru mempunyai kebolehan tersendiri untuk mengubah corak mereka ke arah yang lebih efektif dan efisyen bagi membolehkan seseorang pelajar memperolehi pencapaian pada tahap yang maksimum. Pencapaian pelajar bergantung kepada sekolah yang berkesan dan sekolah yang kurang berkesan akan menyebabkan keputusan pelajar menurun. Oleh itu keberkesanan sekolah dapat dilihat apabila sekolah dapat memenuhi kehendak masyarakat yang telah menyumbang pembangunan individu secara menyeluruh.

Saturday, April 18, 2009

Hari ini dalam surat khabar 19 April 2009 bersamaan 23 Rabiulakhir 1430, kerajaan telah mengumumkan bahawa bakal berlaku satu transformasi baru dalam sistem pendidikan mulai tahun hadapan 2010 apabila gred pelajar tidak lagi bergantung kepada peperiksaan akhir. Oleh itu Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) akan memperkenalkan satu penilaian terhadap seseorang murid melalui kecerdasan akademik, sahsiah pelajar dan penglibatannya dalam kokurikulum. Itulah penentu gred yang akan dimulakan dengan murid prasekolah dan tahun satu. Sekaligus penumpuan terhadap peperiksaan seperti UPSR, PMR dan SPM akan dikurangkan. "Langkah ini secara keseluruhannya akan menyediakan modal insan yang holistik", kata Menteri Pelajaran baru, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kalau hendak dilihat dari sudut penilaian murid sememangnya kerajaan ingin memenuhi tuntutan falsafah pendidikan yang merangkumi perolehan pelajar dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Langkah yang patut dipuji. Walau bagaimanapun sesuatu inovasi yang ingin dilaksanakan dalam pendidikan harus dilihat jauh dan peluang yang bakal diterima oleh pelajar sesuai dengan pendemokrasian pendidikan tanpa membelakangi setiap orang walaupun dari latarbelakang yang berbeza. Ini memerlukan satu kajian yang terperinci dan terancang. Tidak dilakukan semberono sahaja. Asalkan terfikir oleh kepala, terus dilakukan. Kita takut nanti pisang berbuah dua kali. Contohnya pelaksanaan PPSMI yang sekarang ini menjadi isu dan kerajaan terpaksa memikirkan jalan tengah untuk menenangkan ribuan manusia yang menyanggahnya. Kerajaan sudah habiskan beribu-ribu ringgit dan banyak tenaga telah disalurkan untuk tujuan ini. Apakah langkah bijak yang perlu untuk menangani permasalahan ini.

Kalau kita lihat dari segi wajaran pemberian markah, kita perlu mencari satu resolusi dan kaedah terbaik serta menggunakan ukuran yang standard sebagai kayu ukur supaya tidak timbul masalah berat sebelah, sekolah pilihan, sekolah 'favourite' dan sebagainya. Pemberian markah yang dicadangkan untuk UPSR ialah 70% berasaskan pentaksiran dan 30% melalui peperiksaan umum manakala pula PMR 50/50 dan SPM 30/70 ini perlukan satu pertimbangan wajar kerana sebahagian besar penilaian ini bergantung kepada guru-guru. Guru-guru perlu diberi garis panduan yang lebih walaupun sebahagian pendekatan ini telahpun dilaksanakan. Kerajaan juga harus pertimbangkan BEBAN yang perlu guru tanggung.

Friday, April 17, 2009

Hujan di luar semakin lebat. Dinding yang diperbuat daripada kulit kayu mulai basah. Adnan yang berbaring di atas lantai buluh semakin gelisah dan menutup bahagian tubuhnya dengan kain pelekat yang dipakainya. Pak Harun, ayah Adnan sedang menghisap rokok daun hanya melihat gelagat anak bongsu lelakinya dengan penuh simpati.

"Kasihan anak kita," ujar Pak Harun yang hanya mengambil upah kerja-kerja kampung itu. Mak habibah, isterinya yang sedang menggobek sireh, menoleh ke arah Adnan.

"Aina tidur di mana?" soal Pak Harun.
"Dengan Azmah. Mungkin sejuk sangat malam ini," jawab Mak Habibah.
"Entah bila kita dapat gantikan atap rumah kita ini. Banyak sungguh tempat yang sudah bocor," keluh Pak Harun.
"Tunggulah apabila kita ada rezeki lebih. Maklumlah pada musim begini, memang sukar sedikit hendak mencari rezeki," pujuk Mak Habibah.
"Bekalan makanan kita masih ada?" soal Pak Harun.
"Ada lagi. Mujurlah banyak kulit kerbau yang sudah dikeringkan," jawab Mak Habibah sambil terus menggobek sirehnya lagi. Memang itulah makanan paling sedap buat keluarga mereka apabila musim hujan. Kebiasaannya kulit kerbau yang sudah dikeringkan itu dimasak gulai lemak bersama rebung. ...petikan dari novel 'Janji Anak Yatim' karya Ida Rizyani dan Talhah.

Sengaja saya titipkan cerita ini untuk dikongsi bersama sekiranya belum membacanya. Beginilah agaknya yang dilalui dan dirasai oleh pelajar cemerlang Malaysia Nik Nurmadihah yang mendapat 20A dalam peperiksaan SPM baru-baru ini. Syabas diucapkan. Membaca cerita ini membuatkan kita menjadi sebak dan pilu. Kita yang dikurniakan kelebihan dengan makanan, minuman,pakaian dan wang perlu muhasabah diri. Tanyalah diri sendiri di manakah diri kita. Orang lain telah membuktikan kekurangan tidak melunturkan keinginan untuk terus berjaya dan maju. Orang lain boleh kenapa kita tidak. Niat, tekad dan usaha datang dari diri sendiri. Selebihnya berserahlah kepada Allah yang Maha Berkuasa.

Thursday, April 16, 2009

The New One


Student teachers and beginning teachers often express frustration with what they perceive as a lack of continuity between the training for practice they receive in university courses and teaching practice, as they experience it. They should know, what they got during their study is not the same. In other words, as Weinstein(1988) said that teachers "unrealistic optimism" about their ability to teach. Understanding how teachers' theories about learning seem unhelpful when they confront problems of practice.

Now...they knew that working as a teacher is not easy. Teachers aren't producing goods. They produce the meaningful of human being were gifted by God. Teachers should consider 'good', 'right', or 'important' constantly guides our practice. They or others should know, this work shows that students must learn more than is officially stated in the curriculum, include value judgments, hidden or explisit, about worthwhile knowledge, skills, and attitudes. Education is there.

For the new teachers, the concepts, ideas, understandings, principles, and propositions will characterize the discipline. You will be there...

Wednesday, April 15, 2009

dah tertidur

Dah tertidur... tok, tok, tok! "A..a.. siapa?" Siapa pula yang mengacau saat-saat ni... Tegang betul leherku. Dah lama tertidur. "Masuk le...pintu tak berkunci.." Tak ada pula yang masuk. Agaknya aku ngigau. Aku gosok mata yang masih berpinau-pinau. Em... nampaknya sudah cerah. Aku mesti bangun dan pastikan embun tak jatuh dulu. Yang pasti aku tunaikan kewajipanku. Pasrah pada hari kelmarin dan bertekad pada hari ini... Aku akan mulakan langkah yang lebih kemas agar tak terpelecok semasa berjalan. Luka di lututku masih belum sembuh. Kalau aku jatuh lagi hari ini pasti bertambah parah. Luka padaku satu yang buruk. Walaupun dah sembuh namun parut tetap kelihatan. Mencacatkan. Ah! Matahari dah mencuri masuk ruang kamarku. Sejalur barisan lurus memanah tajam di tempat aku terpaku. Aku harus beredar sekarang. Bergerak sepantas sinar mentari ini... Ayuh.... sekarang....