Saturday, April 18, 2009

Hari ini dalam surat khabar 19 April 2009 bersamaan 23 Rabiulakhir 1430, kerajaan telah mengumumkan bahawa bakal berlaku satu transformasi baru dalam sistem pendidikan mulai tahun hadapan 2010 apabila gred pelajar tidak lagi bergantung kepada peperiksaan akhir. Oleh itu Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) akan memperkenalkan satu penilaian terhadap seseorang murid melalui kecerdasan akademik, sahsiah pelajar dan penglibatannya dalam kokurikulum. Itulah penentu gred yang akan dimulakan dengan murid prasekolah dan tahun satu. Sekaligus penumpuan terhadap peperiksaan seperti UPSR, PMR dan SPM akan dikurangkan. "Langkah ini secara keseluruhannya akan menyediakan modal insan yang holistik", kata Menteri Pelajaran baru, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kalau hendak dilihat dari sudut penilaian murid sememangnya kerajaan ingin memenuhi tuntutan falsafah pendidikan yang merangkumi perolehan pelajar dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Langkah yang patut dipuji. Walau bagaimanapun sesuatu inovasi yang ingin dilaksanakan dalam pendidikan harus dilihat jauh dan peluang yang bakal diterima oleh pelajar sesuai dengan pendemokrasian pendidikan tanpa membelakangi setiap orang walaupun dari latarbelakang yang berbeza. Ini memerlukan satu kajian yang terperinci dan terancang. Tidak dilakukan semberono sahaja. Asalkan terfikir oleh kepala, terus dilakukan. Kita takut nanti pisang berbuah dua kali. Contohnya pelaksanaan PPSMI yang sekarang ini menjadi isu dan kerajaan terpaksa memikirkan jalan tengah untuk menenangkan ribuan manusia yang menyanggahnya. Kerajaan sudah habiskan beribu-ribu ringgit dan banyak tenaga telah disalurkan untuk tujuan ini. Apakah langkah bijak yang perlu untuk menangani permasalahan ini.

Kalau kita lihat dari segi wajaran pemberian markah, kita perlu mencari satu resolusi dan kaedah terbaik serta menggunakan ukuran yang standard sebagai kayu ukur supaya tidak timbul masalah berat sebelah, sekolah pilihan, sekolah 'favourite' dan sebagainya. Pemberian markah yang dicadangkan untuk UPSR ialah 70% berasaskan pentaksiran dan 30% melalui peperiksaan umum manakala pula PMR 50/50 dan SPM 30/70 ini perlukan satu pertimbangan wajar kerana sebahagian besar penilaian ini bergantung kepada guru-guru. Guru-guru perlu diberi garis panduan yang lebih walaupun sebahagian pendekatan ini telahpun dilaksanakan. Kerajaan juga harus pertimbangkan BEBAN yang perlu guru tanggung.

No comments: