Friday, April 17, 2009

Hujan di luar semakin lebat. Dinding yang diperbuat daripada kulit kayu mulai basah. Adnan yang berbaring di atas lantai buluh semakin gelisah dan menutup bahagian tubuhnya dengan kain pelekat yang dipakainya. Pak Harun, ayah Adnan sedang menghisap rokok daun hanya melihat gelagat anak bongsu lelakinya dengan penuh simpati.

"Kasihan anak kita," ujar Pak Harun yang hanya mengambil upah kerja-kerja kampung itu. Mak habibah, isterinya yang sedang menggobek sireh, menoleh ke arah Adnan.

"Aina tidur di mana?" soal Pak Harun.
"Dengan Azmah. Mungkin sejuk sangat malam ini," jawab Mak Habibah.
"Entah bila kita dapat gantikan atap rumah kita ini. Banyak sungguh tempat yang sudah bocor," keluh Pak Harun.
"Tunggulah apabila kita ada rezeki lebih. Maklumlah pada musim begini, memang sukar sedikit hendak mencari rezeki," pujuk Mak Habibah.
"Bekalan makanan kita masih ada?" soal Pak Harun.
"Ada lagi. Mujurlah banyak kulit kerbau yang sudah dikeringkan," jawab Mak Habibah sambil terus menggobek sirehnya lagi. Memang itulah makanan paling sedap buat keluarga mereka apabila musim hujan. Kebiasaannya kulit kerbau yang sudah dikeringkan itu dimasak gulai lemak bersama rebung. ...petikan dari novel 'Janji Anak Yatim' karya Ida Rizyani dan Talhah.

Sengaja saya titipkan cerita ini untuk dikongsi bersama sekiranya belum membacanya. Beginilah agaknya yang dilalui dan dirasai oleh pelajar cemerlang Malaysia Nik Nurmadihah yang mendapat 20A dalam peperiksaan SPM baru-baru ini. Syabas diucapkan. Membaca cerita ini membuatkan kita menjadi sebak dan pilu. Kita yang dikurniakan kelebihan dengan makanan, minuman,pakaian dan wang perlu muhasabah diri. Tanyalah diri sendiri di manakah diri kita. Orang lain telah membuktikan kekurangan tidak melunturkan keinginan untuk terus berjaya dan maju. Orang lain boleh kenapa kita tidak. Niat, tekad dan usaha datang dari diri sendiri. Selebihnya berserahlah kepada Allah yang Maha Berkuasa.

No comments: